Wednesday, October 21, 2009

so many things to do!!

i was doing msian studies essay when i come across this article:
taken from http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1021&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm

Dr. Mahathir akan terus berperang, tahniah alumni UiTM!

TUN Dr. Mahathir Mohamad berusia 84 jika ikut tahun lahirnya 1925. Kalau tak silap beliau sering mengaku sedikit muda. Ia hanya dibezakan dengan bulan. Dilahirkan pada 10 Julai, tapi didaftar kelahiran pada 20 Disember. Jika dikaji secara biologi dan fisiologi, beliau memang nampak muda. Namun, beliau semestinya berbangga berada dalam usia itu. Satu kumpulan usia yang terlalu sedikit jumlahnya di negara ini.

Saya pula baru berusia separuh usia negarawan itu. Tidak pasti apakah kita akan sampai ke usia sebegitu? Pada hari Ahad lalu di satu kempen jantung sihat Walk-a-mile atau Jalan Sebatu beliau berjalan bersama-sama peserta lain sejauh lebih sebatu.

"Beliau hanya penat sikit selepas sampai ke garisan penamat," kata Nasir Ali, pengarah eksekutif Kumpulan Utusan yang turut sama berjalan bersama beliau.

Orang tua, yang dikenali dalam blog yang paling popular di Malaysia sebagai blogger Che Det itu sungguh hebat. Selain dikurniakan kesihatan yang baik, beliau ternyata tahu menjaga dirinya. Mungkin juga pengaruh isteri yang menyihatkannya, lantas memanjangkan usianya. Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali setahun muda daripada beliau, juga sihat dan sama-sama berjalan sebatu. Mereka adalah pasangan doktor yang ideal.

Kelmarin (pagi Isnin) beliau hadir di satu syarahan perdana dikenali sebagai Wacana Intelek Ulung anjuran Persatuan Alumni UiTM Malaysia - pertubuhan yang disegarkan semula dengan ahli terkumpul sejumlah 350,000 orang. Syarahan itu diadakan di pejabat Tun di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Ketibaannya dengan isteri ke dalam auditorium tepat jam 10.30 pagi diberi tepukan berdiri oleh para hadirin yang terdiri daripada kira-kira 200 alumni jemputan. Tidak perlu disebut mengapa beliau dihormati sebegitu rupa. Dulu orang membencinya, kini orang menghormatinya. Malah, di universiti sendiri yang dulu ramai warga akademik mengkritiknya, kini terpaksa memetik semula kata-katanya.

Itulah aura Tun. Seorang negarawan yang tidak perlu diperincikan lagi.

Tidak perlulah juga disebut mengapa beliau dipilih sebagai pensyarah sulung untuk wacana ini. Ia adalah kerana beliau terlalu dekat dengan ITM, kata presiden persatuan, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed semasa mencadangkan namanya.

Tunlah orangnya yang menaikkan taraf ITM kepada sebuah universiti. Maka, tidak hairanlah beliau adalah tokoh yang paling tepat dijemput untuk membuka tirai siri syarahan perdana itu.

Semasa bertemu Tun dalam satu pertemuan di sebuah lagi pejabat beliau di No. 88 Jalan Perdana dekat Tasik Perdana Julai lalu, saya ada berbisik kepada beliau mengenai hasrat persatuan alumni UiTM mahu menjemputnya ke wacana itu. Mendengarkan kata-kata itu beliau semacam teruja.

Beliau terus memandang ke arah muka saya. "UiTM! ok...ok... hantar surat kepada saya."

Kelmarin, beliau sekali lagi merasa teruja. Hadir dan berdiri selama dua jam di rostrum, tanpa berganjak. Hanya sekali kelihatan meneguk air, Tun bercakap mengenai satu topik yang paling digemarinya iaitu mengenai globalisasi dan dunia tanpa sempadan.

Bertajuk Strategi Memartabatkan Melayu di Dunia Tanpa Sempadan beliau memperincikan secara detail mengenai sejarah dunia, sejarah asal-usul Melayu - satu bangsa yang amat lemah yang sentiasa tunduk kepada kuasa-kuasa besar, yang walaupun lemah, katanya "mereka (Melayu) masih hidup sehingga ke hari ini."

"Walaupun mereka (Melayu) terbahagi dan dibahagi sepanjang masa, mereka masih survivedan dapat membentuk negeri-negeri dan melantik raja-raja."

Beliau turut menyentuh mengenai negerinya, Kedah yang dikenali sebagai Kedah Tua (lebih tua dari Melaka), yang raja-rajanya bermurah hati memberi sebahagian negerinya kepada raja-raja lain sehingga terbentuknya Perlis. Malah katanya, bekas kawasan Parlimen pilihan rayanya, Kubang Pasu pun hampir-hampir menjadi sebuah negeri. "Jika tidak, saya akan menjadi ahli Parlimen sebuah negeri," selorohnya.

Sejarah baginya amat istimewa sekali. Semasa menjadi Presiden UMNO dulu pun, Tun sering kali memulakan ucapan presidencynya dengan kisah-kisah sejarah yang perlu diteladani. Benar tanpa sejarah, sesebuah tamadun tidak boleh dibentuk. Dan, perlu diingat sejarah (terutama mengenai kisah-kisah malang) boleh berulang semula.

Beliau kemudian bertanya kepada audien, apakah kita akan terus survive dengan globalisasi ini atau terus hilang di muka bumi ini?

Apa yang beliau katakan di atas itu penuh dengan makna yang tersirat dan tersurat. Apakah kita perlu terlalu bermurah hati? Orang Melayu ialah satu bangsa yang amat bermurah hati, suka memberi.

Singapura hilang, kata Tun, diserahkan kepada pemerintah negara itu sekarang dengan hanya 60,000 ringgit pada masa itu. Atau sekarang hanya bernilai tiga kaki persegi di pulau itu!

"Hanya orang yang lemah akan hilang tanah airnya. Ia mungkin tidak akan berlaku lagi, tapi ia boleh berlaku," nasihat beliau.

Pada usia seperti itu (usia yang rata-rata lebih tua daripada bapa-bapa kita sendiri) ia adalah nasihat seorang bapa kepada anaknya. Tapi Tun, ialah seorang bapa yang amat degil. Selama 20 tahun saya membuat liputan mengenai beliau, waima ke merata dunia sekali pun, itulah nasihat yang sering saya dengar dan saya tulis. Itulah celoteh yang sering disebut ke telinga kita sehingga ke hari ini.

Konsep baru penjajahan Barat ini perlu dikaji dan dipelajari, katanya. Barat kini bukan lagi menjajah secara berperang dengan senjata, tapi mereka menggunakan budaya, ekonomi dan perdagangan bagi mendominasi sesebuah negara.

Mereka turut menekan kita supaya menerima fahaman mereka. Mungkin kita boleh menerima konsep demokrasi mereka, tapi kata Dr. Mahathir "saya tidak boleh menerima sama sekali konsep demokrasi liberal mereka."

Liberal dalam serba-serbi. Termasuklah apabila kita dipaksa menerima Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) - satu perjanjian yang melibatkan urus niaga dua hala yang berat sebelah.

Apakah kita mahu berkorban dengan perjanjian itu? Saya tidak akan bersetuju semuanya, mungkin separuh bolehlah, kata beliau ketika menjawab soalan seorang peserta semasa sesi dialog selepas syarahannya.

Beliau turut menasihatkan orang Melayu supaya terus berubah. Ubahlah budaya malas yang orang lain pernah cap kepada kita. Gejala rasuah, pula di kalangan orang Melayu, katanya "sudah terlalu teruk sekali" - juga harus diubah.

Pendek kata, syarahannya penuh dengan kata-kata hikmah. Para hadirin nampak puas dengan syarahan itu. Presiden alumni, Zin pun kelihatan puas. Sekali lagi Tun diberikan tepukan berdiri. Itulah Dr. Mahathir Mohamad, negarawan ulung yang tidak perlu diperincikan lagi.

Ucapan serta transkrip penuh beliau dan video YouTube akan boleh diikuti menerusi laman web persatuan: www.uitmalumni.com.

Seorang sahabat yang juga alumni, Shamsul yang turut mengikuti syarahan itu berbisik kepada saya: "Tengoklah, susah nak cari lagi orang seperti itu." Seorang lagi sahabat yang juga pegawai Tun, Sufi berkata: "Itulah Mahathir, sangat konsisten."

Benar, kata-kata mereka, Tun sangat konsisten dengan prinsipnya. Selagi hayat dikandung badan, beliau akan terus berperang dengan kata-katanya.

Malah minggu depan mulai 28 hingga 31 Oktober, Tun sekali lagi akan berperang dengan kata-katanya. Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Keamanan Global Perdana (PGPO) akan mempengerusikan Persidangan Menjenayahkan Perang (Criminalise War) (lihat:www.criminalisewar.com) di PWTC. Satu perjuangan menentang kezaliman dan keganasan peperangan atas nama kemanusiaan.

Jangan lepaskan peluang hadir ke persidangan itu pula.

n Penulis juga ialah Naib Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia


Tun is someone that everyone look up to..i do admire him but when it comes to this kind of things..and when he starts opposite current ruler such as pak lah..i cant really accept it..but still interested in his way of thinking~

thats all..just stoping by~


peace n out ^_^

No comments: